Dari Umar radhiallahuanhu juga dia berkata : Ketika kami
duduk-duduk disisi Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam suatu hari tiba-tiba
datanglah seorang laki-laki yang mengenakan baju yang sangat putih dan berambut
sangat hitam, tidak tampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada
seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Hingga kemudian dia duduk dihadapan
Nabi lalu menempelkan kedua lututnya kepada kepada lututnya (Rasulullah
Shallallahu’alaihi wasallam) seraya berkata: “ Ya Muhammad, beritahukan aku
tentang Islam ?”, maka bersabdalah Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam : “
Islam adalah engkau bersaksi bahwa tidak ada Ilah (Tuhan yang disembah) selain Allah,
dan bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan shalat,
menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu “, kemudian dia
berkata: “ anda benar “. Kami semua heran, dia yang bertanya dia pula
yang membenarkan. Kemudian dia bertanya lagi: “ Beritahukan aku tentang
Iman “. Lalu beliau bersabda: “ Engkau beriman kepada Allah,
malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhir dan
engkau beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk “, kemudian dia berkata:
“ anda benar“. Kemudian dia berkata lagi: “ Beritahukan aku tentang ihsan
“. Lalu beliau bersabda: “ Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah
seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat
engkau” . Kemudian dia berkata: “ Beritahukan aku tentang hari kiamat (kapan
kejadiannya)”. Beliau bersabda: “ Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang
bertanya “. Dia berkata: “ Beritahukan aku tentang tanda-tandanya “,
beliau bersabda: “ Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau
melihat seorang bertelanjang kaki dan dada, miskin dan penggembala domba,
(kemudian) berlomba-lomba meninggikan bangunannya “, kemudian orang itu
berlalu dan aku berdiam sebentar. Kemudian beliau (Rasulullah) bertanya: “
Tahukah engkau siapa yang bertanya ?”. aku berkata: “ Allah dan Rasul-Nya lebih
mengetahui “. Beliau bersabda: “ Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian
(bermaksud) mengajarkan agama kalian “.
(Riwayat Muslim)
Antara kandungan hadis:
1. Memperelok
pakaian dan perawakan
Di dalam hadis ini, diceritakan bahawa malaikat Jibril telah
datang menemui Rasulullah dalam keadaan menyerupai seorang lelaki. Pakaiannya
kemas tidak menampakkan beliau di dalam permusafiran. Pekertinya sopan
menghadap Rasulullah bertanya tentang Islam, Iman dan Ihsan. Digalakkan kepada
kita untuk mengenakan pakaian bersih dan memakai wangian ketika memasuki masjid
dan menghadiri majlis ilmu.
2. Islam
Secara ringkasnya, Islam mempunyai 5 asas, atau yang selalu kita
sebutkan sebagai 5 rukun Islam.
- Mengucap dua kalimah syahadah
- Mendirikan solat lima waktu
- Mengeluarkan zakat
- Berpuasa di bulan Ramadhan
- Menunaikan haji bagi yang berkemampuan
3. Iman
Rukun Iman ada enam perkara.
Yang pertama, beriman kepada Allah. Meyakini kewujudan dan
keesaan-Nya.
Kedua, beriman kepada malaikat. Malaikat adalah makhluq Allah yang
diciptakan daripada cahaya. Malaikat sangat taat kepada Allah. Mereka tidak
makan dan tidak mempunyai nafsu.
Ketiga, beriman kepada kitab-kitab Samawiyah.
Keempat, beriman kepada para Nabi dan Rasul. Para Nabi dan Rasul
adalah utusan Allah yang menyampaikan risalah-Nya.
Kelima, beriman kepada Hari Akhirat. Semua manusia akan merasai
kematian dan kemudiannya dibangkitkan semula untuk menghisab amalan mereka di
dunia. Amalan baik akan diganjarkan syurga manakala amalan buruk dibalas
neraka.
Keenam, beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah Taala. Meyakini
bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan ketentuan dan kehendak-Nya.
4. Ihsan
Ihsan bererti ikhlas dan tekun. Ia memberi maksud bahawa kita
beribadah dengan sangat khusyu’ seolah-olah kita melihat Allah. Jika kita tidak
mampu merasakan perasaan tersebut, sesungguhnya Allah melihat kita.
5. Hari
Kiamat dan Tanda-tandanya
Ilmu tentang hari kiamat adalah rahsia Allah. Hanya Allah yang
mengetahui bila berlakunya hari kiamat. Kita Cuma dikhabarkan tentang
tanda-tandanya. Antara tanda-tanda kiamat adalah:
- Berlakunya kerosakan akhlaq
- Urusan yang haq dan batil bercampur baur
- Manusia bermegah-megah dengan bangunan tinggi dan perhiasan mewah
- Urusanurusan diserahkan kepada yang bukan ahli
- Manusia bongkak sesama makhluq
6. Bertanya
tentang ilmu
Dalam obsesi mencari ilmu, kita hendaklah menjaga adab-adab yang
berkaitan dengannya. Dalam berdiskusi tentang ilmu, kita hendaklah bertanya
tentang perkara yang boleh memberi manfaat sahaja. Elakkan betanya perkara yang
sia-sia.
Apabila kita ditanyakan satu soalan dan kita tidak mengetahuinya,
hendaklah kita berkata jujur, “Aku tidak mengetahuinya”, kerana itulah tanda
wara’, taqwa dan ilmunya yang sahih.
Wallahu a'lam.