Pernah dengar
orang Islam yang hanya menjadi Muslim untuk 2 hari? Err… Ya. Dia hanya menjadi
Muslim pada dua Hari Raya. Hari Raya Puasa dan hari Raya Haji. Pergi ke Masjid
mendirikan solat sunat bersama Muslimin lainnya. Sedangkan pada hari-hari
lainnya… Allahu a’lam.
Erm. Saya pasti
anda yang sedang membaca bukan salah satu antaranya. Ya kan? Sebab itu anda
membaca entry ini. Alhamdulillah.
Saya melihat
manusia menyambut kedatangan Zulhijjah dengan pelbagai perasaan.
Ada yang
murung dan bersedihan. Masakan tidak. Beraya di kampung halaman tanpa
orang-orang tercinta. Ibu bapanya ke Baitullah menunaikan rukun islam kelima.
Ada yang
biasa-biasa saja. Seperti tiada bezanya dengan hari-hari sebelumnya. Cuti pun tak
panjang. Tiada shopping complex yang mengadakan SALE besar-besaran. Tiada orang-orang
berniaga bunga api dan mercun di kaki-kaki jalan.
Ada juga
yang menyambutnya dengan penuh rasa teruja. Hmm. Ini masanya melayan nafsu
perutku. Daging korban ada di mana-mana. Macam-macam masakan. Oh ya. Semalam aku
menonton berita. Khabarnya, permintaan terhadap lembu dan kambing di Malaysia meningkat
tahun ini. Alhamdulillah..
Ahh. Yang paling
menarik, golongan ini. Menyambut Zulhijjah berbeza dari yang lainnya. Mereka
menyambutnya dengan penuh rasa takjub dan izzah. Dari dimensi seorang muslim
yang sebenar. Dari sudut seorang hamba kepada Zat Yang Maha Esa.
Dilalui hari-hari
Zulhijjah dengan penuh rasa keimanan. Amalan sunat dihidupkan. Berpuasa sunat. Solat
sunat Hari Raya Aidil Adha. Melakukan ibadah qurban. Berzikir. Dan macam-macam
amalan sunat lagi. Menghayati Zulhijjah melalui Seerah pengorbanan Anbiya’. Kisah
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihima salam.
Puasa Sunat
Kita disunnatkan
berpuasa pada 9 hari pertama termasuk pada hari ‘Arafah (kecuali bagi orang
wukuf dalam mengerjakan haji). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi
Qatadah radiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasslallam bersabda:
"Puasa
pada hari ‘Arafah, saya mengharap agar Allah akan menghapuskan dosa setahun
yang lalu dan setahun yang mendatang"
(HR Muslim)
Berqurban
Disyariatkan
melakukan qurban pada hari Raya Haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13
Zulhijjah) .Ia merupakan sunnah Nabi Allah Ibrahim alaihis salam setelah Allah
Ta'ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail alaihis salam yang
kemudiannya ditebus atau digantikan dengan seekor kibash untuk disembelih.
Firman
Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermasud:
"Supaya
mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah kepada
mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu
(hari ma'lumat), kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang
ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari
(daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang
susah, yang fakir miskin."
Firman
Allah SWT lagi di dalam surah al-Hajj ayat 37:
"Daging
dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah,
tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari
kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu
membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita
gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha
supaya baik amalnya."
Solat Sunat Raya Qurban
Menunaikan
solat hari raya secara berjamaah serta mendengar khutbah. Oh ya. Kita disunatkan
supaya tidak makan sebelum mendirikan solat sunat Aidil Adha ya.
Kesimpulannya,
di dalam golongan manakah kita? Tepuk dada tanya iman.
Dikesempatan
ini, IKRAM Siswa UIAM Gombak mengucapkan
Selamat Memburu Amalan Sunat Sepanjang
Zulhijjah.
Moga Allah terimanya sebagai penebus ke syurga dan
Selamat
Menyambut Hari Raya Aidil Adha 1433H
kepada
semua Warga UIAM Gombak dan seluruh Rakyat Malaysia
Wallahu a’lam.